2008-01-31

AMANAT SEORANG PEMIMPIN

Y.B TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia

Sektor pertanian di negara ini bukan sahaja mengalami pertumbuhan yang agak perlahan sebelum ini tetapi juga berhadapan dengan pelbagai cabaran, antaranya tenaga kerja yang semakin tua, under employment, saiz tanah yang kecil dan kurang minat golongan muda melibatkan diri dalam sektor ini.

Ia ditambah dengan anggapan ramai bahawa sektor pertanian mundur dan tidak membawa keuntungan, kurang minat sektor swasta dan persaingan yang semakin sengit di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, di bawah pimpinan Perdana Menteri Y.A.B. Dato’ Seri Haji Abdullah Haji Ahmad Badawi, kerajaan telah memberi penekanan baru kepada sektor pertanian dengan menjadikan sektor ini sebagai enjin ketiga pertumbuhan ekonomi negara.

Sebagai rangsangan kepada pertumbuhan sektor ini Kerajaan juga telah memperluaskan tanggung jawab Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk merangkumi bidang industri asas tani, supaya semua aspek pertanian dari peringkat pengeluaran sehingga jualan dapat dimajukan.

Sesuai dengan Dasar Pertanian Negara Ke-3, Kementerian Pertanian dan Indusri Asas Tani telah berusaha meningkatkan pelaburan swasta melalui pewujudan Business Development Centre (BDC), insentif dan pembiayaan pinjaman dan penubuhan Panel Penasihat Pertanian dan Industri Asas Tani.

Usaha-usaha telah dilakukan untuk membangunkan sumber manusia dan menggalakkan penyertaan golongan muda. Kementerian ini juga telah meningkatkan kerjasama dengan kerajaan negeri dan memperkemas serta memperkukuh sistem penyampaiaan perkhidmatan dengan menyusun semula Jabatan dan Agensi di bawah Kementerian ini.

Walaupun begitu, segala usaha ini tidak akan mencapai matlamatnya jika golongan sasar terutama petani dan usahawan tidak didedahkan dengan maklumat mengenai hala tuju, strategi dan usaha terkini pihak Kementerian.

Saya berharap usaha Kementerian melaksanakan Program Bicara Tani menyampaikan maklumat yang asas dan terkini mengenai program, perkhidmatan dan insentif yang disediakan oleh Jabatan dan Agensi di bawah Kementerian saya kepada golongan sasar akan mencapai matlamatnya.

Sekian, terima kasih.

(Y.B TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN)


0 comments:


 
Impian Mushroom