2009-03-31

Masalah Ulat

Jawapan kepada persoalan Pn. Imah di chat box, saya ingin berkongsi mengenai masalah ulat pada bongkah dan cendawan, berdasarkan pengalaman saya sendiri. Sejak penglibatan dalam dunia cendawan, terdapat 3 jenis ulat yang menjadi ancaman kepada perusahaan cendawan;

1) Ulat kecil tetapi banyak menyerang bongkah cendawan. Ulat ini biasanya boleh di kesan selepas dua minggu dari tarikh suntik. Sungguhpun ulat ini kecil tetapi jumlahnya sangat banyak. Boleh dilihat dari sekeliling bongkah. Ulat ini datangnya dari benih yang sangat tua ketika proses suntikan. Cara untuk atasi masalah ini, elakkan penggunaan benih tua. Benih tua dapat dikenali apabila sudah mula tumbuh seperti anak-anak cendawan didalam botol atau plastik, berair kekuningan dan kadar beratnya pun sudah mula ringan. Bagi kami di Impian Mushroom, benih yang kami gunakan tidak lebih seminggu dari usia matang. Alhamdulillah, dah lama tak jumpa masalah ini berbanding pada awal-awal penglibatan.

2) Ulat besar tetapi kurang jumlahnya. Ulat ini boleh kelihatan melalui laluannya yang membentuk seperti terowong. Ianya lebih jelas apabila bongkah sudah memutih keseluruhan beg. Pada asalnya berwarna putih akan bertukar ke warna hitam apabila bongkah sudah matang. Serangan ulat ini tidak merosakkan bongkah atau cendawan kerana ulat ini akan keluar dengan sendirinya apabila penutup bongkah di buka buat kali pertama. Ulat ini dipercayai datangnya dari dedak padi yang digunakan untuk campuran media. Bagi dedak padi yang terlalu lama(lapuk) dan banyak kutu beras dikhuatiri membawa sama ulat jenis ini. Pastikan bekalan dedak diperolehi segar, dan tidak disimpan terlalu lama. Sungguhpun tidak memudaratkan, tapi ia dapat dielakkan.

3) Ulat yang satu lagi ini dikategorikan amat merbahaya. Ia akan menyerang pada batang dan insang cendawan. Apabila memotong akar, jika kelihatan batangnye berlubang dan kekuningan, kemungkinan besar ulat ini telah menyerang. Begitu juga di bawah insang, jika terdapat bintik-bintik hitam di celah-celah insang, hendaklah diperhatikan dengan teliti. Bentuk ulat ini berkepala hitam dan badannya putih hampir menyamai warna insang cendawan. Saiznya yang halus sekali imbas tak perasan, tapi bila dah packing baru la dia keluar tunjuk diri dan mula bertukar warna menjadi lebih gelap dan jelas kelihatan. Ulat ini dipercayai berpunca dari kumbang-kumbang yang membuat sarang/bertelur di mulut bongkah. Selepas tuai, elakkan dari membiarkan bongkah terdedah lama berhari-hari. Ini akan mengundang kumbang bersarang di dalamnya. Kumbang ini juga suka berkumpul pada cendawan-cendawan tua yang belum di petik dan bersarang/bertelur didalamnya. Dipercayai kaedah semburan campuran haruman sebelum tutup rehat dapat mengurangkan masalah ini selain pertingkatkan persekitaran yang bersih. Jadi, elakkan kehadiran kumbang-kumbang ini seminima yang boleh. Kerana ini boleh menjejaskan reputasi anda sebagai pembekal cendawan segar yang berkualiti.

Semoga pengalaman yang kami kongsikan ini dapat mengurangkan kesukaran Pn. Imah berdepan dengan masalah ulat ini.

0 comments:


 
Impian Mushroom